Thursday, June 3, 2010

Surat Putus Cinta

surat chenta tahap cipan mengandung

Dalam kesuraman ultra lembayung tika tujuh bulan menumpahkan cahaya
dibawah kaki langit khirmizi, tiba-tiba aku terkenangkan eurika
nostalgia cinta lama yang kita palitkan berdua. Kehadiranmu bersama
molekul-molekul hidrogen menerjang segala kekusutan yang membelit tali
perutku. Dan kehadiranmu itu mengajar aku erti rindu gelora dan
shahdu.

Kau juga mengajarku erti cinta, singa laut,beruang kutub, penguin,
kambing salji, mee rebus, cendol, koridor, kotak pensil, tali kasut
dan pasu bunga.Kala itu, kita bagaikan Nobita dan Sizuka.Kau dan aku
umpama Kurt Cobain dan Rafeah Buang yang tidak dapat dipisahkan.
Malangnya percintaan yang mendapat liputan meluas hingga ke planet
Ziku itu telah mengundang perpisahan yang akhirnya telah mengecewakan
seluruh penternak lipan di Burma. Kau pergi jua ketika Kuala Lumpur
sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998.

Sesungguhnya perpisahan itu berpunca daripada penebangan pokok getah
secara besar-besaran di Lembah Klang. Pemergianmu menyebabkan aku
menghidap penyakit resdung dan hepatitis-Q secara mengejut.
Ketiadaanmu memaksa aku memakai topi keledar setiap masa sebagai
langkah keselamatan. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah
terjadi. Aku bagaikan tergelincir dari orbit bumi dan terpelanting ke
ruang angkasa, apabila daya tarikan graviti terhadapku tiada lagi
berfungsi setelahaku tersungkur dalam percintaan yang berlarutan
hingga ke rubber-set. Seluruh perjalanan hidupku menjadi gelita
bagaikan terperangkap di dalam gua yang gelap dan ditemani stlagit dan
stlagmit yang bagai sembilu.

Kondominium cinta yang kita bina dari makgat basikal dan kipas
helikopter akhirnya musnah setelah kau berpaling tadah. Ternyata
sikapmu mulai berubah bila Malaysia mula melancarkan satelit MEASAT-1
ke ruang angkasa raya. Sejak itu kau sering melarikan diri bila
terserempak dengan abang iparku. Akhirnya aku menyedari bahawa diri
ini tidak diperlukan lagi.

Sejak kau tiada, aku sering menyendiri berbual-bual dengan pokok betik
untuk mengisi masa lapang. Kadang-kadang aku mengikat botol oren pada
tiang rumah agar nampak lebih cantik. Saban hari aku termenung di
dalam peti sejuk mengenangkan dirimu yang entah kemana menghilang. Aku
cuba bermain badminton sambil makan mi hailam untuk melupakanmu,
tetapi aku tak berdaya. Lalu aku membakar mesin basuh dan membelasah
empat ekor itik serati jiran sebelah sebagai tanda aku tidak bersalah.

Mengapa? Mengapa sayang? Mengapa ini semua bisa terjadi? Mengapa
setelah kau curi hatiku, kau rompak cintaku lantas kau bunuh cintaku
sehingga kau terbunuh dalam kemalangan cinta yang ngeri. Aku bagaikan
terhimpit dan dihimpit oleh guni-guni batu yang kau timpakan di atas
belakangku. Derita yang kautimpakan itu adalah bebanan yang terlalu
berat untuk ku tanggung bagaikan mendukung 75 ekor biawak dan 386 ekor
anak beruk. Dan kini segala harapanku hancur berkecai bagaikan aku
terjatuh dari Menara Kuala Lumpur dan dihempap oleh Menara Berkembar
Petronas lalu tersangkut di celah landasan LRT dan kemudiannya digilis
pula keretapi Komuter hingga aku hancur berkecai. Oh! terlalu berat
dugaan yang kutempuhi kini.

Kini segalanya telah pun berakhir. Aku sedar siapa aku. Aku hanya
insan biasa yang suka makan mi segera. Aku bukan McGyver, McDonald's,
Superman atau Kesatria Baja Hitam. Aku juga bukanlah Ultraman seperti
yang kau idam-idamkan. Aku menyedari kekurangan diri dan kekurangan
kemudahan awam di tempat sendiri. Tak perlu dikesali lagi kerana nasi
telah menjadi capati dan tin sardin yang ku genggam ini telah pun
luput tarikhnya. Segalanya sungguh mengharukan dan semua hadiah
pemberianmu termasuk enjin kapal selam telah pun aku cincang untuk
dibuat makanan lembu.

Walaupun segalanya telah pun berakhir, disini, diatas pokok getah ini
aku tetap menunggu kau akan kembali. Selagi ada nafas ini, selagi ada
kompleks membeli-belah SOGO, selagi ada kedai kasut selipar di sekitar
Argentina, selagi kumpulan Metallica tidak berpecah, aku tetap
menunggumu sehinggalah mentari terbelah lapan. Namun aku menyedari
bahawa penantianku hanyalah sia-sia belaka. Akhirnya aku mengambil
keputusan mektamad untuk menunggu tiang elektrik dihadapan rumahku
berbuah. kalau tiang elektrik berbuah nanti, aku poskan buahnya
kepadamu. Nak tak?

2 comments:

  1. mane ko chilok karangan nie? haha.. ko pon same cam tu.. si penulis.. hahahahaha

    ReplyDelete
  2. haha...kalu aku putus cinte ayat die lg power dari yg ni...x leh nk gmbarkan dgn penulisan....hahaha

    ReplyDelete